Pejam celik...pejam celik dah 6 hari peristiwa besar iaitu PRU 13 telah berlalu.
Semuapun dah tahu keputusannya.Pada yang berjaya..sama2 kita berharap mereka akan melaksanakan amanah yang diberi.Sebagai umat islam kita hendaklah yakin dengan seyakinnya...bahawa semua yang berlaku adalah ketetapanNya.Sudah Tentu ada hikmah di sebalik apa yang ditakdirkn...
KUN FA YAKUN!!!
Bacalah dengan mata dan hati yang terbuka...sangat terkesan ! saya kongsikan dari sebuah Blog
Orang Melayu hanya
ada masa 4 tahun lagi sebelum segalanya terlambat. Melayu yang masih bergaduh
dan bergasak sesama Melayu meninggalkan kesan kekalahan kepada beberapa buah
negeri dan hampir kalah di sebuah negeri.
Melayu yang masih
kecil dan belum faham erti politik tentu kecewa bila dapat tahu 10 tahun lagi,
kuasa Melayu itu sudah tiada lagi di Tanah yang bernama Melayu. Moga itu tidak
berlaku. Namun, segalanya boleh hilang jika tumpas empat tahun lagi. Segalanya
boleh berlaku, jika perubahan sikap tidak dilakukan.
Cukup cukuplah
sengketa dan menuding jari. Masa itu tidak harus dibazirkan. 5 tahun dahulu,
faktor yang sama dibincang dan dicanang sebagai punca beberapa negeri tumpas.
Namun pengajaran tidak pernah diambil. Pelajaran tidak pernah dipelajari.
Yang dibincang bagai mencurah air di daun keladi.
Yang tua terus
bergasak untuk kuasa. Yang muda terus dianggap terlalu mentah dan baru dalam
politik. Tua anggap muda kurang pengalaman. Muda tidak hormat tua. Itulah
realitinya, tidak hormat dan pandang pada ilmu dan kebolehan. Akhirnya jurang
itu diisi oleh kekalahan. Parti Melayu yang mengisi kemerdekaan negara ini
baru menyambut ulang tahun yang ke-67.
Perjuangan dahulu
dan sekarang umpama langit dan bumi. Banyak yang muda sudah tidak faham
erti dan manifestasi diri. Mereka diajar menyokong individu bukan parti. Mereka
dirajakan dan disahabatkan dengan duit bukan perjuangan pertiwi. Oleh itu, bila
yang tua bergasak, mereka turut sama bergasak kerana sokongan itu adalah pada
individu.
Duit menjadi raja.
Pengampu orang kaya dipandang sebagai mahir segala. Kasihan pemimpin yang rajin
bekerja. Mereka benar benar berkhidmat untuk bangunkan negara. Beri segala yang
rakyat minta. Beribu ditatang di mata pemimpin, namun hakikatnya ribuan itu
bukanlah realiti sokongan.
Hanya sedap pandangan mata. Segala
yang manis ditabur kepada pemimpin. Takut bercerita situasi yang pahit. Yang
manis enak didengar. Yang masam disapu bawah tilam. Jangan diulang
perkara sama, hadaplah rakyat dengan suasana sebenar. Biar pemimpin lihat
realiti. Biar pemimpin rasai apa yang terbuku di hati.
Siang dan malam
mendahulukan rakyat. Kampung dan kota habis dikunjungi. Semuanya demi rakyat.
Namun apakan daya ada rakyat yang tidak faham erti terima kasih. Mereka memilih
kerana emosi. Mereka memilih kerana persepsi. Bila keputusan diumum, barulah
mereka menyesali. Kesan buruk bila tersalah undi.
Kesan yang bakal
ditempuh 5 tahun lagi. Melayu sekarang sudah semua senang. Lahir dalam
senang. Bertatih pun senang. Bersekolah pun senang. Masuk universiti pun
senang. Segalanya sudah ada sebab negara sudah senang.
Bila sudah sudah
senang, mereka gagal fahami apa itu erti susah. Susah hendak fahamkan orang
yang lahir lahir sudah senang. Lagi bertambah susah bila hendak memahamkan
mereka bahawa kesenangan itu adalah hasil kerja kuat nenek moyang Melayu dalam
politik.
Mereka kata itu
cerita karut. Mereka kata itu dongeng. Mereka tidak mahu dengar Sejarah. Mereka
tidak mahu dengar cakap orang tua. Inilah masalah besar orang Melayu yang masih
muda. Lebih percaya pada cakap penglipur lara yang datang atas pentas
terbuka.
Lupa dan alpa
dengan cerita manis penglipur lara. Membawa cerita percuma, percuma dan
percuma. Lupa dan hanyut dalam janji manis penglipur lara. Janji yang belum
tentu mereka dapat penuhi. Itu pun ada orang yang masih percaya dan tersengih
sampai ke pipi.
Melayu mudah lupa.
Ungkapan itu ada kebenarannya kini. Lupa pada kesusahan. Lupa pada tangan
yang memberi kesenangan. Mudah percaya pada “hantu” yang menjaja cerita
segalanya dalam dunia ini haruslah percuma. Melayu yang datang atas hak
demokrasi pun dianggap hantu.
Suatu ketika, orang
muda Melayu bangkit menyatukan bangsa untuk kemerdekaan. Suatu masa, belia
Melayu bangun menyedarkan bangsa tentang ancaman komunis dan keselamatan
negara. Satu waktu dulu, pemuda bangsa Melayu berusaha gigih selamatkan bangsa
dari miskin di bumi sendiri.
Tiga usaha tersebut
sudah berlalu. Kini cabaran yang terbesar adalah mengekalkan kuasa politik
Melayu. Masih ramai Melayu yang kurang faham matematik politik Melayu dalam
parlimen. Mereka gagal bezakan antara persefahaman politik dengan “pakat pakat”
berpolitik.
Jangan sampai
segalanya sudah hilang. Sekali terlepas kuasa ini. Melayu akan hilang terus
kuasanya. 4 tahun lagi, usah diulang faktor faktor yang sama ini.
Masa sekarang
adalah untuk bertindak. Hentikan tuding jari dan memulakan konspirasi. Melayu
tidak akan kalah jika Melayu bersatu. Melayu hanya akan kalah jika Melayu itu
menjatuhkan Melayu sendiri.
Lihatlah sejarah
pemerintahan Khalifah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Selepas 29 tahun,
pemerintahan itu berakhir kerana pergaduhan semasa sendiri. Abbasiyah juga
hancur kerana pengkhianatan dalaman. Kota Melaka yang agung selama 116 tahun
juga runtuh kerana pergaduhan sesama sendiri.
Putrajaya dibina
atas runtuhan Kota Melaka, sedarlah kemerdekaan ini baru 56 tahun. Usia masih
lagi di pertengahan era Empayar Melaka yang pernah gemilang dahulu.
Fahamilah, bahawa
dunia Islam sekarang adalah pada akhir zaman. Banyak tempat yang lain, Islam
sudah dicabar, dibakar dan diserang. Hanya bumi Melayu, syiar Islamnya masih
kuat. Kuat kerana Melayu itu adalah Islam dan Islam itu adalah
Melayu. Khalifahnya masih lagi Raja Melayu.
Inilah istimewanya
Melayu di bumi ini. Jangan menyesal air mata darah. Renungilah ungkapan “Melayu
Itu” karya Usman Awang. Melayu sedang dilawan dengan politik ideologi oleh
pihak lawan. Jawapan terbaik untuk melawan arus lawan itu adalah dengan
mengembalikan semula “roh Melayu dan Islam”. Inilah caranya.
Sedarlah Bangsaku....
No comments:
Post a Comment